Wednesday, April 8, 2009

Salam Kemenangan

0 komentar
Gambar dari harakahdaily

Debaran siapakah yang berjaya menambat hati rakyat pada PRK 7 April baru-baru ini sudahpun terjawab dengan kemenangan 2-1 yang penuh bergaya daripada pihak Pakatan Rakyat. Keputusan ini secara sinisnya telah menolak slogan permohonan restu daripada rakyat oleh Barisan Nasional.

Jelasnya, ia membawa suara rakyat bawahan bahawa mereka tidak sekali-kali merestui kepimpinan di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional yang telah banyak merosakkan negara dan juga mengabaikan amanah yang diberi oleh rakyat sendiri selama berpuluh-puluh tahun.

Gambar dari SIASAH Online

Tahniah diucapkan kepada calon daripada Parti KeADILan Rakyat yang memenangi kerusi DUN Bukit Selambau di Kedah dan juga buat Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaludin yang mewakili PAS di Parlimen Bukit Gantang, Perak. Kejayaan ini merupakan tamparan hebat daripada rakyat kepada kepimpinan baru Dato' Najib Tun Razak dan Barisan Nasional secara amnya.

Semua sudah maklumi bahawa Dato' Seri Nizar merupakan antara mereka yang awal menentang dasar PPSMI dengan tindakan anaknya yang memfailkan saman terhadap Kementerian Pelajaran Malaysia dan juga Kerajaan Persekutuan.

Justeru, kejayaan yang baru diraih ini diharapkan akan dapat menambahkan lagi suara penentangan di Parlimen terhadap pelaksanaan dasar PPSMI di samping pelbagai isu-isu besar termasuk rampasan kuasa kerajaan negeri Perak oleh Barisan Nasional.

Sunday, April 5, 2009

Munajat PRK 2 Bukit 1 Batang

0 komentar
Wahai Tuhan seru sekalian alam,
Limpah syukur kepada-Mu kami panjatkan.

Wahai Nabi ikutan sepanjang zaman,
Salam-selawat buatmu kami persembahkan.


Ya Allah!

Kurniakanlah kemenangan kepada perjuangan Islam
Sungkurkanlah para penderhaka agama itu dengan kekuasaan-Mu
Kami lemah ya Allah, lemah dengan segala kebesaran-Mu
Tiada daya bagi kami ya Allah,
melainkan dengan iradat-Mu

Berikanlah kekuatan kepada kami,
buat melawan musuh-Mu

Campakkanlah ruh Badar ke dalam jiwa-jiwa kami
Jadikanlah ruh Ahzab sebagai kekuatan
kepada perjuangan kami


Ya Allah!

Kami bersujud kepada-Mu menyembah rayuan ini
Sesungguhnya kami ingin melestarikan ajaran agama-Mu
Turunkanlah tentera langit-Mu
sebagaimana mereka menggempur Medan Badar

Sebagai pengajaran kepada penderhaka agama-Mu
yang maha angkuh

Ya, mereka begitu durjana membikin angkara
Dan kami...kami berlindung dengan-Mu ya Tuhan
Sesungguhnya tidak sesekali kami rela diri kami menyembah derhaka kepada-Mu


Monday, March 30, 2009

0 komentar

Assalamualaikum wbrt.



Alhamdulillah, dengan usaha gigih krew yang diamanahkan, pada hari ini Lajnah Hal Ehwal Pendidikan PAS Pusat (LHP) telah berjaya mengakseskan lamannya sendiri yang bertindak sebagai suara rasmi LHP berhubung isu-isu pendidikan dalam dan luar negara.

Pembikinan laman ini adalah merupakan satu usaha untuk menyebarkan kesedaran Islam dalam bidang pendidikan agar masyarakat peka dengan perkembangan semasa yang beredar begitu drastik. Tanpa peringatan yang bersungguh-sungguh, umat Islam tidak akan berjaya menanganinya dengan berkesan.

Justeru itu, langkah LHP adalah untuk menyampaikan nasihat kepada semua khalayak masyarakat berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Agama itu adalah nasihat"

Selaku Pengerusi lajnah, saya mengalu-alukan kehadiran para pelawat semua dan kami membuka ruang kepada semua pengunjung laman ini untuk sama-sama berkongsi atau menyumbangkan sebarang bentuk artikel, khidmat nasihat, pandangan, dan juga apa-apa sahaja sokongan moral atau material dalam menjayakan lagi usaha daripada LHP ini.

Saya juga merakamkan setinggi penghargaan buat Krew IT LHP yang berusaha untuk merealitikan keujudan laman ini. Selamat datang saya ucapkan kepada semua pengunjung.

Sekian, terima kasih.


Ust. Dato' Abu Bakar Chik,
Pengerusi LHP.

 

Lajnah Hal Ehwal Pendidikan PAS Pusat (LHP) Copyright © 2008 D'Black by Ipiet's Blogger Template